Saturday, April 28, 2012

Kahwin Melalui Wali Yang Tidak Sah


Soalan:
Masalahnya berlaku apabila seorang gadis ingin diperisterikan tetapi si bapa gadis tidak mahu masyarakat tahu yang anak gadisnya adalah hasil di luar nikah lalu mewalikan anak gadisnya. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut dan bagaimana menyelesaikan masalah ini sekiranya si gadis telahpun mempunyai anak dengan suaminya yang disangkanya sah itu?

Jawapan:
Seseorang yang ingin berkahwin memerlukan kepada wali. Wali dalam perkahwinan adalah satu rukun yang penting. Tanpa kebenaran dari pihak wali sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Wali yang paling afdal dalam sesuatu proses perkahwinan ialah wali mujbir iaitu bapa atau datuk. Bagi orang yang tidak mempunyai wali, maka yang menjadi walinya ialah wali hakim sebagaimana yang disebutkan didalam sebuah hadis sahih riwayat At-Tirmizi.

Jika seseorang itu tidak layak menjadi wali kepada sesuatu proses perkahwinan seperti mana dalam kes di atas, tetapi ia mewalikan juga perkahwinan itu kerana menutup malu dari tersebar kepada umum, maka hukum perkahwinan tersebut tidak sah. Pengantin terlibat hendaklah berpisah dengan pasangannya dengan seberapa segera. Jika ia masih bersama dengan pasangannya itu, bererti ia telah melakukan perzinaan, manakala anak yang dilahirkan adalah anak zina. Dalam kes ini suka dinasihatkan kepada yang terlibat supaya membuat aduan kepada pejabat agama di daerah masing-masing, supaya tindakan selanjutnya dapat diambil dan pasangan terlibat pula tidak terus menerus berada dalam perzinaan.

Sila rujuk buku:1. Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Lagak Pandai tetapi Bodoh

Soalan:
apakah hukum orang yang suka cakap besar dan tinggi padahal dia tidak tahu apa-apa?

Jawapan:
Rasulullah SAW berjalan melalui sekelompok sahabat yang sedang berkumpul. Baginda bertanya; "Mengapa kamu berkumpul di sini ?" Sahabat menjawab: "Ya Rasulullah disini ada orang gila yang sedang mengamuk, sebab itu kami berkumpul di sini". Kemudian baginda bersabda: "Orang ini bukan gila, ia sedang mendapat musibah. Tahukah kamu, siapakah orang gila yang sebenar ?". Para sahabat menjawab: "Tidak ya Rasulullah". Baginda menjelaskan; orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur atau sombong, yang memandang orang lain dengan pandangan yang merendahkan, yang membusungkan dada, berharap syurga Tuhan sambil berbuat maksiat, kejahatannya membuat orang terganggu. Adapun orang ini dia hanya sedang mendapat musibah".

Begitu hina orang yang sombong tapi bodoh di sisi Rasulullah SAW sehingga baginda menganggapnya sebagai orang gila. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi dari takbur (sombong). Dan tidak akan masuk neraka orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari iman". (Riwayat Muslim)

Sila rujuk buku:1. 40 Akhlaq Yang Mengubah Dunia

No comments: